Siapakah Wanita Pertama Masuk Syurga?
Siti
Fatimah adalah anak Rasulullah yang mempunyai budi pekerti yang baik
dan beliau amat taat kepada ajaran Islam, dan sifat-sifatnya sama
seperti bapanya yakni Nabi Muhammad S.A.W. Pada suatu hari ketika
Rasullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti
Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang
wanita dari kalangan orang kebanyakan (orang biasa) yang pertama akan
masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.
Mendengar sahaja
kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanya lantas ia
menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam
mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih
dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah
di mana dia sekarang”
Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia
adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3
batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar pergi
mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu
daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia
mengetuk pintu sambil memberi salam.
Perempuan yang Rasulullah
maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Siti Fatimah datang
ke rumahnya tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah
berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan
dengan awak”.Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik, tetapi saya
tidak dapat membenarkan cik masuk kerana suami saya tidak ada di rumah.
Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah datang pada
esok hari”.
Dengan perasaan sedih dan dukacita Siti
Fatimah pulang kerana tidak dapat masuk dan bercakap panjang dengan
perempuan tersebut. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu
dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah
perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan
itu melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, “Ini
siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”.
Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta
izin untuk anak ini masuk daripada suami saya”.
Siti
Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya.
Esoknya Siti Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini
dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli
syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta
izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu
malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.
Dalam
perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut
kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani
melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya
marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa,
pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil
menangis teresak-esak.
Sebaik sahaja suami kepada
perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang
seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Suaminya yang terkejut dan
hairan pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah
Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu
baginda. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan
kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah s.a.w. Jangan
awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah
mereka dengan baik dan hormatilah mereka semua”.
Isterinya
menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya
mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan
awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan
membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”. “Terima Kasih” sahut
suaminya.
Pada hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi
dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu
dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada
itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil
memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan
seseorang dengan tidak berapa memperdulikan Siti Fatimah. Sambil itu
Siti Fatimah melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat
dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi mengangkat
hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh
dengan senyuman yang manis.
Melihat keadaan sebegitu rupa
dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Siti Fatimah
bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Cik, harap
maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”.
“Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Siti Fatimah. Jawab perempuan
itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera
menghulurkan air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat
nanti dia akan marah”.
Kemudian Siti Fatimah bertanya
lagi, “Buat apa pula dengan tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika
suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. Siti
Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga
menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata,
“Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah
menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.
Selesai
sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah
termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan
perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah
dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain.
Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami
itu bergantung kepada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.
Sambil
teresak-esak menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta
izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah s.a.w
lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi
kerana tidak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan
perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.
Sebaik sahaja Rasulullah
s.a.w mendengar rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil
tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda
jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras
kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang
masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti
Fatimah tersenyum ketawa.
Dari kisah yang diceritakan di
atas, dapat kita lihat bahawa ketaatan seorang isteri kepada suaminya
adalah sangat penting dalam institusi rumah tangga. Oleh itu kepada
semua wanita yang bergelar isteri, sahutlah seruan cerita ini, taatlah
serta berbuat baiklah kepada suami masing-masing, nescaya akan diredhai
oleh suami anda. Fikirkanlah sejenak, di mana kedudukan anda sekarang
di sisi Allah kerana keredhaan Allah adalah keredhaan suami anda.
Buat Renungan semua ~
Selangkah
anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah
juga ayahnya itu hampir ke neraka. Selangkah seorang isteri keluar
rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga suaminya itu hampir ke
neraka
0 comments:
Post a Comment
Pendapat anda? Sila tinggalkan komen :)